|
Apa itu Pendidikan Keselamatan Jalan Raya? |
Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) melibatkan pembelajaran tentang persekitaran jalan raya (papan tanda, isyarat dan penanda jalan raya), kemahiran untuk menggunakan persekitaran jalan raya dengan selamat dan undang-undang jalan raya. Ia juga melibatkan pemahaman akibat dari pengambilan risiko di atau berdekatan jalan raya, bagaimana untuk menghormati pengguna jalan raya yang lain, dan bagaimana untuk berkongsi persekitaran jalan raya supaya semua orang selamat semasa melakukan perjalanan.
Semua pengguna jalan raya perlu menjadikan keselamatan jalan raya sebagai keutamaan. PKJR ialah kunci untuk memastikan semua pengguna jalan raya memiliki sikap yang betul, pengetahuan dan kemahiran untuk memastikan keselamatan diri sendiri dan orang lain serta untuk mengelakkan risiko.
Program PKJR di sekolah bertujuan untuk mengajar kanak-kanak dan remaja pengetahuan dan kemahiran keselamatan serta membantu untuk membentuk sikap pengguna jalan raya yang baik.
|